Monday 26 January 2015

PM - Anwar : Burung Sebulu Beregu


BANYAK pihak bertanya saya mengenai tulisan (Tan Sri) Zainuddin Maidin aka Zam dalam blognya pada 19 Januari lepas bertajuk “salam terakhir Zam pada penulisan politik semasa.”

 

Zam sudah beri penjelasan dan saya pun sudah berpuisi dalam blog beliau. Apa pun saya terpaksa hormati keputusan beliau walaupun saya berkata kepada beliau yang beliau perlu terus berjuang.

 

[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]

 

Nampaknya Zam kecewa dan begitu tersentuh apabila teguran beliau terhadap pemerintah, khususnya kepada kawan lamanya Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak, dianggap persekongkolan dengan (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan (Tun) Daim Zainuddin.

 

Zam kata beliau bukan penulis upahan dan tidak pernah menjadi penulis upahan. Bagi saya itu hujah teknikal. Saya adalah penulis upahan. Saya katakan begitu kerana memang saya diupah menulis oleh syarikat saya dan saya juga diberi upah oleh akhbar dan majalah yang menyiarkan karya saya. Perdana Menteri pun diupah untuk memerintah negara. Makan upah halal tidak salah.

 

Cuma dalam menulis blog ini saja tidak diupah atau ditaja oleh sesiapa. Sebaliknya saya keluarkan duit sendiri dan guna masa sendiri.

 

Awal dan akhir, saya adalah wartawan. Saya tidak pernah merajuk, tidak pernah mogok seni dan tidak pernah tutup blog saya.

 

Saya menulis sejak di bangku sekolah lagi dan menjadi wartawan tanpa putus-putus sejak tahun 1969. Tahun ini masuk tahun ke-46 saya jadi wartawan dan bulan hadapan genaplah sembilan tahun blog ini.

 

Tidak seperti Zam dan beberapa orang wartawan lain, saya tidak tergoda dengan politik dan tidak “bercuti” daripada kewartawanan untuk menjadi Yang Berhormat atau menteri. Jadi tidak adalah apa-apa yang boleh menyebabkan saya dalam dilema, serba salah dan gusar apabila menulis mengenai politik dan orang politik.

 

Zam dan beberapa orang wartawan-politikus memilih untuk menjadi makhluk dua alam yang melompat antara dunia kewartawanan dan politik. Itu hak dan pilihan mereka. Saya memilih untuk kekal sebagai seorang wartawan.

Anwar dan Mohd Najib ceria menikmati "a cuppa"

 

Berkenaan perang media yang menyebabkan Zam turut terseret dan terpalit, pendapat saya adalah seperti berikut:

 

1. Perdana Menteri tidak menyangka bahawa dua orang penjaga (guardians) politiknya - Dr Mahathir dan Daim – boleh menjadi begitu kritikal terhadap beliau sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, suami dan presiden parti.

 

2. Pada mulanya beliau menggunakan taktik berdiam diri ala "elegant silence" (Tun) Abdullah Ahmad Badawi, disusuli dengan berjumpa sendiri dengan Dr Mahathir dan Daim. Tetapi tindakan susulan beliau tidak meyakinkan kedua-dua orang lama itu dan mereka terus bersuara.

 

3. Daripada taktik pertahan diri, Mohd Najib dan pakar-pakar perang sarafnya berpindah kepada taktik serangan dengan melantik Ketua Pembangkang, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, sebagai protagonis utama.

 

4. Premis mereka adalah ancaman terdekat terhadap Mohd Najib ialah Dr Mahathir dan Daim. Dalam masa terdekat dua orang veteran itu boleh menggugat kedudukan Mohd Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

 

5. Jadi keutamaan Mohd Najib adalah mengatasi cabaran yang berpunca daripada Dr Mahathir dan Daim. Maka menjatuhkan imej dan kewibawaan mereka adalah pilihan utama dan terbaik bagi Mohd Najib.

 

6. Anwar juga ancaman kepada beliau tetapi tidak segera seperti ancaman Dr Mahathir dan Daim. Ancaman Anwar adalah apabila pilihan raya umum diadakan tiga atau empat tahun dari sekarang. Dalam tempoh itu mungkin Anwar bukan ancaman lagi!

 

7. Tindakan Mohd Najib dan jentera diayahnya menyerang Daim melalui media arus perdana (MAP) kawalan Umno adalah strategi luar biasa yang boleh menjadi senjata makan tuan. Ia mengalih fokus Anwar daripada kerajaan kepada Daim dan Dr Mahathir. Mohd Najib tentu tahu bahawa Dr Mahathir, Daim dan Anwar adalah trio yang sangat berpengaruh ketika Anwar dalam Umno dan kerajaan sedangkan beliau sendiri sekadar pelakon tambahan. Jadi melaga-lagakan bekas "tiga sahabat" itu adalah strategi bijak. Hatta Anwar sendiri tidak sedar dan termasuk perangkap perang saraf Mohd Najib.

 

8. Selain isu kredibiliti dan audiens, MAP tidak rugi apa-apa dengan memberi pentas kepada Anwar kerana apabila (atau sekiranya) Dr Mahathir dan Daim berjaya difitnah dan dilenyapkan, tinggallah Anwar sebagai musuh tunggal yang mudah diuruskan.

Zaman dolu-dolu: Birds of a feather stick together

 

9. Daripada tindak-tanduk MAP menggunakan Anwar sebagai jurucakap timbullah gambaran bahawa Anwar masih mempunyai simpatisan (simpathizers) di kalangan eksekutif, pengarang dan wartawan MAP.

 

10. Kemungkinan wujud hasrat tersirat dan persefahaman belakang tabir berbentuk quit pro quo di antara Mohd Najib dan Anwar memandangkan kedua-dua mereka mempunyai “isu-isu” yang mungkin boleh dirungkaikan atau, setidak-tidaknya pun, dikurangkan impaknya kalau mereka saling bantu membantu. Kata ungkapan Inggeris “birds of a feather stick together.”

 

11. Akhir sekali, dalam politik tidak ada musuh yang kekal. Yang kekal hanyalah kepentingan bersama. Kalau Anwar boleh berkasih-kasihan dengan Dr Mahathir selama 16 tahun dalam Umno dan kerajaan, tidaklah mustahil bagi Anwar bercumbu-cumbuan dengan Mohd Najib. Kalau ini permainan catur, Anwar pasti tahu Mohd Najib lebih mudah dimakan berbanding Dr Mahathir dan Daim.


Wallahuaklam.


A Kadir Jasin


No comments:

Post a Comment