Thursday 11 September 2014

Tun Mahathir meminta butiran lanjut dari SSK

Salleh Said Keruak dalam blognya telah membidas Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Susuli dengan kritikan SSK maka pada 28 Ogos 2014 saya telah menjawab kritikan tersebut dimana telah di siarkan melalui blog saya, facebook dan twitter.

Kemungkinan berpadukan kepada anggapan SSK bahawa “Dr Mahathir has lost track of the economic realities", SSK dengan konfiden menulis mengenai 1MDB. Ternyata kenyataan SSK mengenai 1MDB mengelirukan. Tun Dr Mahathir telah meminta SSK memberikan butiran lanjut dan dokumen tentang penggunaan 1MDB untuk semua tujuan, termasuk pelajaran.

Tun Mahathir melalui blognya telah mempersoalkan pendapat/tulisan SSK. Saya kagum dengan sikap Tun Mahathir, walaupun SSK pernah "menyerang" Tun Mahathir melalui blognya, " Dr Mahathir has lost track of the economic realities” tetapi Tun Mahathir masih menggangap beliau (SSK) sebagai “rakan”. Ini diantara sikap murni yang ada pada Tun Mahathir dimana tidak ada kepada lain lain pemimpin di Malaysia.

Berikut adalah pandangan penuh Tun Dr Mahathir Mohamad

1. Saya tertarik dengan tulisan sahabat saya Saleh Said Keruak (SSK) berkenaan 1MDB.

2. Beliau berpendapat 1MDB ialah untuk bantuan dalam bidang pelajaran. Saya akui saya tidak tahu akan kegunaan wang 1MDB untuk pelajaran. Tetapi ada iklan yang menyebut sudah lebih satu juta rakyat dapat bantuan pelajaran dari 1MDB. Bahagi 1 juta dengan 4 tahun ini bermakna 250,000 setahun. Jika benar, Alhamdulillah.

3. Yang saya tahu 1MDB diguna untuk membeli tiga buah stesen janakuasa dari YTL, Ananda Krishnan dan pemilik Jimah power plant di Negeri Sembilan. Harga pembelian lebih tinggi daripada harga pasaran. Kos tidak kurang dari 4 billion Ringgit

4. Baru-baru ini 1MDB akan memiliki sebahagian besar daripada saham stesen janakuasa yang akan dibina oleh Tenaga Nasional dan pihak lain. YTL telah tarik diri. Ramai yang menegur Tenaga kerana projek ini, kerana tidak mengadakan tawaran terbuka.

5. Pembangunan projek Tun Razak Financial Exchange di jalan Tun Razak akan di laksanakan dengan dana 1MDB juga.

6. Selain daripada itu berbillion dollar di urus melalui bank di sebuah Pulau Caribbean.

7. Sahabat saya tentu tahu bahawa dana 1MDB ini berlagak sebagai Sovereign Wealth Fund iaitu dana kekayaan Negara.

8. Banyaklah Negara pengeluar minyak mengadakan sovereign wealth fund daripada lebihan yang didapati setelah menjual beratus juta tong minyak setahun. Kuwait dan Qatar membeli banyak hotel terkemuka dengan wang yang banyak yang ada pada mereka.

9. Malaysia mengeluarkan hanya 650,000 tong sehari dan tidak ada lebihan wang daripada penjualan minyak oleh Petronas. Sebahagian besar keuntungan diserah kepada Kerajaan, selainnya untuk dilabur. Wang yang diserah ini tidak begitu besar.

10. Sebenarnya perbelanjaan Kerajaan lebih daripada pendapatan termasuk sumbangan daripada Petronas. Oleh itu bajet kita menghadapi defisit, bukan lebihan.

11. Duit untuk 1MDB bukan daripada lebihan kewangan Negara. Ia dihutang. Berbillion ringgit dihutang yang menambah hutang Negara dengan amat tinggi. Hutang oleh Negara mesti dibayar. Jika tidak kita akan muflis seperti Argentina. Sebuah Negara yang mengalami deficit tiap tahun tidak mungkin bayar hutang sebesar ini.

12. Biasanya dalam Kerajaan kita mengadakan belanjawan – iaitu catitan wang yang akan diterima oleh kerajaan bagi sesuatu tahun serta wang yang akan dibelanjakan oleh kerajaan pada tahun berkenaan. Pengurusan kewangan Negara perlu ikuti aturan peraturan. Diantaranya ialah kelulusan had siling hutang oleh Dewan Rakyat.

13. Memang saya tidak perhati betul-betul tetapi saya tidak tahu akan peruntukan dalam bajet untuk membeli stesen janakuasa atau pembangunan beberapa projek.

14. Untuk pelajaran kita tidak perlu berhutang. Sejak dahulu lagi kita peruntukkan hampir 25% dari bajet untuk pelajaran. Kita tidak pernah hutang untuk maksud ini.

15. Ada juga cerita-cerita yang merunsingkan berkenaan pembiayaan oleh 1MDB. Saya harap sahabat saya SSK dapat beri butiran lanjut dan dokumen tentang penggunaan 1MDB untuk semua tujuan, termasuk pelajaran.

No comments:

Post a Comment